Kempen ketenteraan Perang_Ain_Jalut

Imbangan kuasa bertukar berikutan kematian Khagan Mongke (semasa ekspidisi ke China). Ini memaksa Hulagu dan para pembesar Mongol yang lain untuk pulang bagi memutuskan penggantinya. Hulagu, yang berpotensi menjadi Khagan, membawa sebahagian besar bala tenteranya bersama-samanya dan meninggalkan angkatan kecil di bahagian barat sungai Euphrates: seramai satu atau dua tumen (10,000 — 20,000 orang) di bawah pemerintahan jeneral terbaiknya, Kitbuqa Noyan, seorang Kristian Nestorian puak Naiman .[4]

Sebaik sahaja mendapat berita tentang pemergian Hulagu, sultan Mamluk, iaitu Sultan Qutuz, mengumpulkan sebuah pasukan tentera yang besar di Kaherah dan menyerang Palestin.[5] Pada lewat Ogos, tentera Kitbuqa bergerak ke arah selatan dari pangkalan mereka di Baalbek, melintasi kawasan timur Laut Galilee (Tasik Tiberias).

Pada waktu itu Sultan Qutuz bersekutu dengan seorang Mamluk, Baibars, yang mahu mempertahankan Islam selepas penaklukan Baghdad dan sebahagian besar Bilad al-Syam oleh Mongol.

Pihak Mongol pula cuba membuat pakatan Frank-Mongol dengan (atau setidak-tidaknya menuntut penyerahan) saki-baki kerajaan Salibi, Kerajaan Jerusalem, yang sekarang tertumpu di Acre (Akka), tetapi dihalang Paus Alexander IV. Ketegangan antara orang Frank dan Mongol juga bertambah apabila Julian dari Sidon menyebabkan satu kejadian yang berakhir dengan kematian seorang daripada cucu Kitbuqa. Dengan perasaan marah, Kitbuqa memusnahkan Sidon. Para pembesar Akka, yang diserang Mongol, juga dihubungi oleh Mamluk yang mencari sekutu untuk menentang Mongol.

Walaupun Mamluk menjadi musuh tradisional Frank, para Baron Acre melihat Mongol sebagai ancaman masa terdekat; justeru para Salibi memilih untuk berkecuali.[6] Dalam satu gerakan yang luar biasa, mereka bersetuju agar Mamluk Mesir dibenarkan mara ke utara melalui kawasan-kawasan Salibi tanpa diganggu, malah juga membuat pangkalan berdekatan Akka. Apabila tiba berita yang pihak Mongol telah menyeberangi Sungai Jordan, Sultan Qutuz dan angkatannya bergerak ke arah tenggara menuju mata air anak sungai di Ain Jalut di Lembah Jezreel.[7]